Popular Posts

Friday, 18 October 2013

John Locke; Pemikir dan ahli falsafah barat


Apabila kita mengatakan tentang falsafah, pasti yang terbayang di fikiran adalah para cendekiawan yang berada di sebalik sebuah teori dan falsafah itu. Sebut sahaja Aristotle, Plato, Socrates, Ibn Sina, Ibn Rusyd dan ramai lagi adalah nama-nama besar yang tidak asing dalam dunia falsafah.

Antara salah satu doktrin Falsafah yang terkenal adalah teori Empirisme. Empirisme adalah suatu aliran dalam falsafah yang mengatakan bahawa semua pengetahuan berasal dari pengalaman manusia. Empirisme menolak anggapan bahawa manusia telah membawa fitrah pengetahuan dalam dirinya ketika dilahirkan. Teori Empirisme lahir di barat dengan tiga tokoh utama  iaitu, David Hume, George Berkeley dan John Lock.

John Locke, sebuah nama yang tidak asing dalam dunia pemikiran Barat. Pemikiran Liberalisme yang diterapkan beliau menjadi sandaran dan rujukan oleh Barat. Siapakah John Locke ini?

John Locke dilahirkan di Wrington , sebuah perkampungan di utara Somersetshire , pada 29 Ogos 1632. Keluarga beliau tinggal berhampiran kampung Pensford , di paroki Publow , kira-kira enam kilometer dari Bristol. John Locke merupakan seorang ahli falsafah barat yang namanya terkenal dengan pendekatan empirisme yang digagaskan beliau. John Locke bersahabat baik dengan Isaac Newton, dan Locke dipandang sebagai idola terpenting semasa era Pencerahan.

Menurut John Lock, seluruh pengetahuan bersumber daripada pengalaman manusia. Pandangan ini dapat digambar dengan gambaran empirisme yang mana ianya menolak pendapat kaum rasional yang mengatakan sumber pengetahuan manusia yang terutama berasal dari rasio atau fikiran manusia itu sendiri. Meskipun demikian, rasio dan fikiran juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan pengetahuan. Dengan demikian, Locke berpendapat bahawa fikiran dan rasio sesorang itu masih belum berfungsi selagi ia belum melalui sebuah pengalaman.

Situasi tersebut diibaratkan Locke seperti sebuah kertas putih (tabula rasa) yang kemudian mendapatkan isinya dari pengalaman yang dijalani oleh manusia itu. Rasio manusia hanya berfungsi untuk mengolah pengalaman-pengalaman manusia menjadi pengetahuan sehingga sumber utama pengetahuan menurut Locke adalah pengalaman.

Menurut Locke juga, manusia dilahirkan sedarjat, tidak ada manusia ketika dilahirkan ke dunia, lebih dari manusia lain. Tuhan memberikan kemampuan nalar, kesamaan keuntungan-keuntungan alamiah, kekuasaan dan juridikasi.
Perkara ini dapat dilihat daripada kenyataan beliau dalam karyanya ‘An Essay Concerning The True Original, Extent and End of Civil Government’; 
“A state also of equality, wherein all the power and jurisdiction is reciprocal, no one having more than another; there being nothing more evident that that creatures of the same species and rank, promiscuously born to all the same advantages of nature, and the use of the same faculties, should also be equal one amongst another without subordinate or subjection, unless the Lord and Master of them all should by any manifest declaration of His will set one above another, and confer on him by an evident and clear appointment an undoubted right to dominion and sovereignty ”

Jika dikaji, karya-karya John Locke bukan sahaja tertumpu kepada perbahasan falsafah, tetapi juga tentang pendidikan, ekonomi, teologi dan perubatan. Bagaimanapun, terdapat beberapa buah karyanya yang menjadi tumpuan utama dan yang terpenting dalam sejarah hidup beliau.

An Essay Concerning Human Understanding, merupakan karya agung beliau, Buku ini merupakan karya beliau yang dihasilkan pada tahun 1690.  Dikatakan juga, bahawa melalui karya inilah yang membuatkan beliau menjadi masyhur. Buku ini  mempersoalkan mengenai asal usul, hakikat dan keterbatasan pengetahuan manusia. Teori beliau mengenai ‘Tabula rasa’ adalah yang pertama kali diperkenalkan melaui karya ini. Buku ini juga dikatakan sebagai sumber utama pemikiran Empirisme yang mana ianya telah berhasil mempengaruhi tokoh-tokoh besar falsafah yang lain seperti David Hume dan George Berkeley, dan Immanuel Kant.  Selain dari ini, terdapat dua lagi buah karya masyhur beliau. Iaitu, Two Treatises of Government dan Letters of Toleration.

Karya beliau dalam Two Treatises of Government  telah dibahagi menjadi First Treatises dan Second Treatises. The First Treatise difokuskan pada sanggahan dari Sir Robert Filmer, khususnya Patriarcha , yang berpendapat bahawa masyarakat awam ditubuhkan mengikut hak-hak ketuhanan raja. Second Treatises menghuraikan teori masyarakat awam. Di samping itu, Locke juga mengembangkan sejumlah tema penting iaitu keadaan alamiah dimana individu tidak bertanggungjawab untuk mematuhi satu sama lain, penaklukan dan perhambaan ,harta, pemerintahan perwakilan dan hak revolusi. Karya ini juga menjelaskan mengenai Liberalisme iaitu falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi.

Selain daripada dua karya di atas, karya beliau yang bertajuk Letters of Toleration juga merupakan salah satu tulisan beliau yang tepenting. Sehubungan dengan karya beliau mengenai konsep Negara, dalam buku ini beliau menyatakan pandangan beliau mengenai hubugan antara Negara dan agama. Dalam tulisan ini, Locke mengatakan, terdapat pemisahan tegas antara urusan agama dan Negara sebab tujuan masing-masih juga adalah berbeza.

Locke amat menekankan bahawa negara jangan ikut campur terlampau banyak dalam hal kebebasan menjalankan ibadah menurut kepercayaan agama masing-masing. Locke bukanlah orang pertama yang mengusulkan adanya toleransi agama ini, tetapi argumennya yang kuat yang dilontarkannya, yang berpihak kepada perlunya ada toleransi merupakan faktor utama penilaian terhadap pandangannya. Lebih dari itu, Locke mengembangkan prinsip toleransinya kepada golongan non-Kristien.

Locke juga berpendapat, tidak ada toleransi dalam ateis. Melihat kepada konteks kini dia boleh dikatakan amat terbuka, tetapi rasional dengan memandang kepada pengalaman-pengalama di zamannya. Melalui tulisan-tulisan mengenainya, apa yang dapat disimpulkan adalah alasan-alasan yang dikemukakan John locke demi terciptanya toleransi agama lebih meyakinkan pembacan dari pengecualian-pengecualian yang dibuatnya. Kesimpulannya, idea-idea beliau menjadi satu dasar.


Rujukan:

Roger Woolhouse. 2007. Locke A Biography. New York: Cambridge University Press

R.S Woolhouse. 1971. Locke’s Philosophy of Science and Knowledge. Britain: Basic Blackwell

E.W.F Tomlin. 1968. The Western Philosophers; an Introduction. London: Hutchinson & Co. LTD

Richard Aschcraft. 1991. John Locke Critical Assesment. London: Routledge

Stuart Brown.1996. British Philosophy and the Age of Enlightenment. London: Routledge. Chapter 3. Locke: Knowledge and its limits

Etienne Bonnot De Condillac .1756 . An Essay on the Origin Of Human Knowledge Gainesville, Florida: Scholar’s Facsimiles & Reprints

Yahya Jusoh, Azhar Muhammad. 2012. Falsafah Ilmu dalam Al-Quran Ontologi, Epistemologi, dan Aksiologi. Malaysia: Penerbit UTM Press

Konstatin Kolenda. 1974. Philosophy’s Journey: A Historical Introduction. United State: Waveland Press

Ahmad Sunawari Long. 2006. Sejarah Falsafah. Malaysia: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.











No comments:

Post a Comment